Wednesday, February 3, 2021

Puisi Abdul Razak bin Othman



Saling

Rimba pernah menggurui kita erti saling dalam kehidupan
pohon besarnya berdiri gah dahan menjulang ke perut awan
meneduhi pepohon kerdil; menggugurkan daun renta
yang direntap oleh geser angin lalu mendap ke kulit tanah
dilumatkan cacing menjadi nutrien subur dan menggembur.
Pepohon renek berakar rambut saling pada membuhul tanah
memeterai lurah pada pacakan bukit; gagah melindung cerun
dari punah diterjah seranah hujan pun sesekali serakah bah.
Banir pepohon besar dan kecil saling menadah jirus hujan
yang diapungkan mendung basahnya meresap ke tubuh
dan dikumuhkan menjadi peluh mengalir di rusuk liku
dan kaki-kaki bukit yang melenggok sungai-sungai anak
melewati jeram teluk dan lubuk jernihnya menyuluh
rumpun batu dan banir pasir di dasar; santun menghilir
sebahagian disesar ke awan dan alirnya tak pernah mungkir
akur akan telunjuk tebing yang mengarah ke mulut laut.
Demikian plot hidup rimba purba; terdandan watak para murba
mulia melingkari makna saling dan berputar pada rantai fitrah
masing-masing berkitar di landskap sunah, indah dan bermaruah.
Rimbaku, sudikah kembali setelah kau kucincang lumat?
Sungaiku, pulanglah ke jernih-beningmu kurindu amat
Alamku, kami ingin bersaing dengan salingmu.

(Puisi ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 Kategori Puisi Eceran)


Tentang Penyair



Nama sebenar ABDUL RAZAK BIN OTHMAN. Lahir di Kampung Tendong, Pasir Mas, Kelantan pada 18 Disember 1964. Berkenalan dengan sastera ketika berusia 33 tahun dan mulai berkarya dua tahun kemudian. Menulis dalam genre puisi dan cerpen.

Pendidikan rendah dan menengah di kampung asal sebelum mengikuti kursus Pendidikan Seni Visual di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur 1983 -- 1985. Daripada Seni Visual beliau beralih ke bidang Kesusasteraan Melayu apabila mengikuti Diploma Perguruan Khas di Maktab Perguruan Raja Melawar tahun 1997 seterusnya ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun 1998 -- 2000.

Sehingga kini telah menghasilkan 3 kumpulan sajak dan 2 buah kumpulan cerpen.
Judul buku-buku tersebut Melukut Menukik Sekam, (2008), Pesan Seorang Luqman,
(ITBM 2013) dan Sajak Untuk Permata, (2014). Manakala kumpulan cerpen pula Latah (2013) dan Aura Haji Mahar (ITBM, 2015).

Abd. Razak pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun
2001 dan tahun 2008. Sajak beliau berjudul "Pada Glaukoma ke Ahmar" menjadi
teks Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 & 5, antologi Kubentangkan Sehelai Peta (DBP, 2014). Selain itu turut memenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013,
kategori puisi eceran.

Beliau juga pernah muncul naib johan Sayembara Deklamasi Puisi sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat negeri Kelantan tahun 2009. Menganggotai Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan dilantik sebagai Setiausaha 2. Beliau diberi
anugerah Karyawan Kelantan bagi kategori penulis cerpen oleh kerajaan negeri Kelantan tahun 2013.

-----------------------------------
Sumber tulisan: Lembaran Masteran, Majalah Sastra PUSAT NO 11/2015

Sumber ilustrasi: Pixabay


0 comments: