Saturday, April 10, 2021

Langit Meratap, Puisi Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 Kategori Puisi Eceran


Karya Marsli N.O (Malaysia)

Asap yang terapung memenuhi udara menyebarkan kepedihan nurani
manusia yang mendesak-desak di trotoar, dataran dan jalanan. Mereka
yang datang dari segenap pelosok negeri dan kota hanya meminta dengan suara marhaennya

Meminta segala janji segera di kota dan bukan hanya dengan sandiwara
kata-kata yang memberikan mereka mimpi indah bernama ketuanan.
Tetapi di depan mata sejengkal demi sehektar tanah negerinya menjadi cagar dan gadai.
Dan langit meratap. Ketika asap mengepung dan mencekik kerongkong.
Melelehkan tangisnya tanpa suara. Menyatu dengan raung dan pekik
marhaen di trotoar, dataran dan jalanan.

Di mata si pelahap dan bajet politik, mereka berubah menjadi haiwan.
Dihambat dan dilontar cerca, hanya kerana pinta marhaennya.

Tentang Penyair


MARSLI N.O atau nama sebenar Ramli Selamat, dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu. Mula melibatkan diri dalam bidang penulisan secara serius pada tahun 1975. Banyak menulis dalam karya kreatif seperti cerpen, novel, puisi dan drama pentas, di samping membuat resensi buku dan rencana yang disiarkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka serta penerbitan luar. 

Pernah mendapat beberapa anugerah sastera dalam genre puisi dan cerpen. Antaranya puisi "Negeri Ini, Anak" yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena pada tahun 1989, puisi " Begitu kata Malam" yang meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1997/1997 serta puisi "Saling" yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013.
---------------------------------------------------
Sumber tulisan dan foto: Majalah Sastra Pusat 
Sumber ilustrasi: Pixabay


0 comments: